Wednesday, March 3, 2010

APAKAH PKR @ PR AKAN LUMPUH?

Krisis "keluar parti" yang melanda PKR baru-baru ini mendapat liputan yang luas di dada akhbar. Berbanding media cetak bahasa Melayu yang menonjolkan masalah kepimpinan PKR secara khususnya, media cetak bahasa Cina sebaliknya, lebih menyasarkan kepada individu yang keluar parti.

Dengan kata lain, walaupun fenomena "keluar parti" ini mengundang persepsi negatif terhadap PKR secara umumnya, tetapi jika diteliti, wujudnya dua penafsiran yang jelas berbeza, antara akhbar Melayu dengan akhbar Cina.

Ketika mengulas isu ini, akhbar Melayu seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian mempertikaikan halatuju perjuangan PKR, yang kononnya membelakangi kepentingan Melayu-Islam. Sebaliknya, isu halatuju perjuangan PKR tidak diungkit oleh media Cina, tetapi integriti individu (yang keluar parti) yang dipersoalkan. Tidak dinafikan, fenomena "keluar parti" semestinya menghakis keyakinan khalayak ramai terhadap PKR, tetapi ia juga difahami sebagai strategi Barisan Nasional untuk menyerang musuh politiknya.

Monday, March 1, 2010

NIK AZIZ ULAMA IDOLA....KATA AMY SEARCH

PETALING JAYA, 1 Mac: Ikon rock tanah air, Amy Search menjadikan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ikon ulama kerana mempunyai sikap kesederhanaan dalam kehidupan.
Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman menyatakan demikian bagi menjawab pertanyaan pensyarah kanan UTM, Dr Azhar Yaacob sebagai pengerusi pada majlis forum yang bertajuk ‘Islam Untuk Semua’ anjuran Masjid Kota Damansara, dekat sini, malam tadi.
Turut menjadi ahli panel pada forum yang diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul 1431 itu ialah pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Dasuki Abdul Rani.
Baginya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah seorang ulama yang amat dihormati dan mudah didampingi yang pernah menjemputnya ke Kelantan untuk menyampaikan ceramah kepada golongan muda.
Pendapat beliau itu turut disokong oleh bekas penyanyi kumpulan rock, Ringgo yang menghormati pendirian Menteri Besar Kelantan itu sebagai ulama.
Beliau turut membuat persembahan pada majlis tersebut dengan menyampaikan sebuah lagu berunsur Islam.
Sementara itu, Amy juga menyeru golongan ulama supaya mendampingi artis bagi mendorong ke arah yang lebih baik.
“Saya harap ulama, ustaz-ustaz dampingi kami (artis), tanpa ulama tegur kami, kita mungkin lalai,” ujarnya.