Sama ada Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri atau tidak, itu bukan persoalannya. Beliau mungkin berjaya menjadi Perdana Menteri, ataupun tidak. Tetapi dua hakikat yang wajar dipegang. Pertama, Pakatan Rakyat akan tubuhkan kerajaan, sama ada tahun ini, dan kalau tidak; pada pilihan raya umum akan datang, PRU-13. Kalau tidak, pilihan raya selepasnya. -->
Ini kerana sistem dua parti adalah kedudukan yang semula jadi bagi mana-mana negara ytang matang di dunia. Sejarah telah membuktikannya dan adalah suatu yang dijangkakan bahawa Malaysia juga akan memiliki sistem dua parti. Bukan saja Malaysia tetapi juga negara-negara lain di rantau ini termasuklah Singapura, Brunei, Myanmar dan Laos.
Kedua, dalam perjuangan demokratik ini, Anwar dan keluarganya telah memberi sumbangan besar. Beliau, isterinya, Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya Nurul Izzah Anwar adalah perintis sebuah keluarga pejuang politik yang telah memperjuangkan demokrasi dan akan terus melakukannya pada masa-masa akan datang.
Justeru, sama ada Anwar berjaya menjadi perdana menteri atau tidak, sudah tidak menjadi perkiraan. Malah kalau Wan Azizah menjadi perdana menteri pun, rakyat dipercayai boleh menerimanya. Yang penting adalah sistem dan budaya demokratik distabilkan di negara ini. Dari sistem ini, akan muncul pelbagai pemimpin yang akan mewarnai politik negara. Kalau tidak Wan Azizah, maka rakyat boleh melantik Nurul Izzah.
Dan tidak semestinya daripada keluarga itu. Yang hendak dicapai adalah demokrasi dan nepokrasi. Cumanya dalam sejarah, politik sememangnya mempunyai sifat kekeluargaan. Bagaimanapun, demokrasi melangkaui feudalisme yang bersifat nepotisme. Justeru, kalau tidak Anwar yang menjadi Perdana menteri dari Pakatan Rakyat, Syed Husin Ali pun boleh. Khalid Ibrahim pun boleh. Dan tidak semestinya perdana menteri datang dari kalangan KeADILan. Dari PAS pun boleh. Abdul Hadi Awang, malah Nik Abdul Aziz Nik Mat pun boleh.
Namun begitu sumbangan besar Anwar terhadap demokrasi dan sistem dua parti adalah jelas. Beliau adalah pemimpin pembangkang sejak dari awal lagi. Daripada seorang pemimpin pelajar dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), beliau sudah menolak Umno. Tetapi penyertaannya ke dalam Umno pula lebih bersifat taktikal dan ternyata Anwar tidaklah berjiwa Umno sebenar.
Sebab itu beliau mudah untuk menerima Umno Baru dengan jangkaan bahawa akhirnya beliau akan melakukan reformasi. Maka beliau menyebut mengenai 'Kebangkitan Asia' ketika dalam Umno Baru lagi. Suatu kesedaran politik yang lebih cenderung terhadap demokrasi dan keadilan, pada waktu yang sama mesra gerakan Islam.
Tetapi beliau gagal dalam Umno Baru. Bagaimanapun, kegagalan beliau itu ada hikmah tersendiri. Ia membolehkan beliau bebas daripada budaya Umno dan terus mewujudkan Parti Keadilan Nasional (PKN) sebagai kekuatan baru. Parti ini mesra gerakan kiri dan lantas dicantumkannya dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Di kalangan ahli politik pembangkang, tiga tokoh yang menjadi penyandar kepada Anwar. Mereka adalah Allahyarham Fadzil Nor, Syed Husin dan Lim Kit Siang. Tanpa sokongan ketiga-tiga ini, gerakan demokratik Anwar tidak akan ke mana. Mereka inilah yang membolehkan penubuhan Barisan Alternatif (BA) dan seterusnya menjadi asas kepada Pakatan Rakyat hari ini.
Fadzil sentiasa menyokong Anwar sejak dari zaman ABIM lagi ketiga beliau adalah timbalannya. Malah ketika Anwar dalam Umno pun, Fadzil masih bersangka baik. Ketika Anwar disingkirkan daripada Umno, Fadzil menjadi obor kepada rakyat Malaysia untuk melihat kebaikan daripada diri Anwar. Selepas Fadzil meninggal dunia, Syed Husin muncul sebagai hati budi KeADILan. Rakyat bergantung pada Syed Husin untuk bersangka kepada Anwar.
Tetapi di antara ketiga-tiga ahli politik itu, Fadzil, Syed Husin dan Lim Kit Siang, pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) itulah yang paling kanan dan berpengalaman sebagai ahli parlimen. Beliau yang menjadi ketua pembangkang yang cemerlang menerima kepimpinan Wan Azizah dalam parlimen.
Tetapi di antara ahli-ahli politik pembangkang itu, tidak ada orang yang lebih dipercayai daripada Wan Azizah. Hayat politik Anwar bergantung rapat dengan Wan Azizah dan seterusnya kepada anaknya, Nurul Izzah. Maka akhirnya kalau Anwar gagal menjadi Perdana Menteri, adalah wajar Wan Azizah menggantikan tempatnya. Tidak ada masalah bagi pendokong Pakatan Rakyat.
Sementara pendokong Pakatan Rakyat, baik dari KeADILan, PAS, DAP ataupun parti-parti sekutunya dari kalangan Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Demokratik Malaysia (MDP), mahupun dari pelbagai gerakan yang telah menolak BN menjadi tulang belakang kepada perjuangan mewujudkan sistem dua parti di negara ini.
Justeru, pendokong Pakatan Rakyat mesti mengukuhkan semangat dalam keadaan yang bertambah mengancam. Walaupun ada pembelot yang meninggalkan perjuangan atas pelbagai sebab, tetapi fokus harus diberikan kepada perjuangan khusus untuk mencapai negara yang adil dan demokratik.
Bagi orang Melayu, dokongan terhadap Pakatan Rakyat lebih bermakna lagi kerana tidak ada pilihan lain buat waktu ini. Suatu fahaman baru memperjuangkan bangsa mesti diwujudkan dalam minda Melayu. Apa yang gagal dicapai melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) mesti dijayakan melalui Agenda Ekonomi Malaysia (AEM). Orang Melayu mesti dijayakan dalam konteks keadilan, suatu perjuangan panjang yang pernah dilaung-laungkan sejak sebelum Umno diwujudkan. Fahaman Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) wajar diserlahkan melalui Pakatan Rakyat.
Dalam keadaan ini, sokongan orang Melayu terhadap Pakatan Rakyat adalah lebih penting lagi. Ini kerana suara mereka amat diperlukan untuk menyerlahkan agenda Melayu.- tajdid _
No comments:
Post a Comment