IPOH, 16 Ogos (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menganggap tindakan bersumpah yang dilakukan oleh Saiful Bukhari Azlan bagi mempertahankan kebenaran dirinya terhadap kes liwat membabitkan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah suatu kebodohan.
Menurutnya, lebih malang lagi ia melibatkan mereka yang terdiri daripada kalangan cerdik pandai agama.
"Ianya suatu kebodohan dan lebih malang lagi melibatkan golongan yang memakai jenama Islam," katanya pada sidang media di Muktamar Tahunan PAS ke-54 hari ini.
Jelasnya, kes tersebut adalah dikategorikan sebagai kes yang menyamai kes zina.
Menurut beliau, merujuk kepada artikel 121 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan, kes liwat yang dikiaskan kepada hukuman zina perlu diadili di mahkamah syariah.
Sumpah yang diucapkan oleh Saiful juga, ujar beliau hanya boleh dilakukan oleh isteri atau suami yang menuduh pasangan mereka melakukan zina.
Hukum yang disebut sebagai li'an dalam perundangan Islam ini, jelasnya tidak boleh dilakukan oleh orang yang tidak mempunyai hubungan perkahwinan seperti dalam kes liwat Saiful.
Ustaz Abdul Hadi turut menyifatkan kes liwat ini sebagai berunsur politik.
"Kita lihat, bagaimana Saiful Bukhari mengangkat sumpah sehari sebelum Anwar dinamakan sebagai calon.
"Maka tidak syak lagi ia sememangnya bermotifkan politik kotor dan tidak bermoral," tegasnya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Anwar tidak bersalah.
"Bahkan, badan kehakiman membenarkan beliau bertanding di Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh.
"Kita masih tetap menyokong Anwar dan menyatakan bahawa (beliau) tidak bersalah," katanya lagi.
Ditanya mengenai keperluan Anwar untuk bersumpah sepertimana yang dilakukan Saiful, beliau berpandangan ianya tidak wajar.
Ketika ditanya kemungkinan kes ini akan memberi kesan negatif kepada pengundi, Ustaz Hadi menegaskan ianya tidak mungkin.
"Saya tidak merasakan begitu, bahkan kemungkinan sokongan terhadap beliau bertambah itu ada," ujarnya lagi.
Mengulas isu yang sama, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Mohd Daud Iraqi berkata pertuduhan liwat memerlukan empat orang saksi yang adil.
"Sekiranya terbukti berlaku pembohongan maka kesaksian individu tersebut sudah tidak dapat digunakan sampai bila-bila," katanya.
Jelas beliau, bukan sebarang kenyataan dapat dibuat oleh saksi yang mahu membuktikan kes liwat ini.
Sumpah menggunakan kitab suci ini juga menurutnya menyerupai amalan golongan kristian.- tajdid_
No comments:
Post a Comment